Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah melancarkan Maskot Tenaga yang bertemakan Bangkit Bersama Cekap Tenaga sewaktu majlis perasmian Program Penghayatan Alam Sekitar (PPAS).
.
PPAS merupakan program anjuran Pejabat Keselamatan Pekerjaan dan Kelestarian Alam Sekitar (KPKA) UTeM bertempat di Kampus Teknologi UTeM, Ayer Keroh, Melaka, semalam.
Ianya juga diadakan sejajar dengan Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia yang diadakan pada setiap tahun dan sambutan Hari Alam Sekitar peringkat Kebangsaan.
Tema sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia pada tahun ini adalah “Time for Nature” dengan berfokus kepada biodiversiti yang memberi kesedaran terhadap peri pentingnya biodiversiti terhadap keseimbangan alam sekitar perlulah dipupuk dari masa ke semasa, agar khazanah berharga ini terus terjaga dan dapat dinikmati oleh generasi yang akan datang.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim sewaktu ucapannya berkata, impak daripada penganjuran PPAS 2020 UTeM ini secara langsung menyokong aspirasi universiti terhadap amalan lestari yang diterjemahkan menerusi Goal 6 Pelan Strategik Universiti 2021- 2025 iaitu Smart & Dynamic Campus.
Jelasnya, ia turut menyumbang ke arah peningkatan kedudukan UTeM yang disasarkan akan mencapai kedudukan 100 terbaik UI GreenMetric World University Ranking on Sustainability 2020 serta penarafan tertinggi iaitu ke arah 3 bintang untuk Energy Management Gold Standard (EMGS) bagi pengurusan tenaga yang cekap di universiti.
“Untuk makluman semua, kedudukan semasa UTeM dalam UI GreenMetric World University Ranking on Sustainability 2019 adalah di kedudukan 114 daripada 779 universiti di seluruh dunia.
“Manakala bagi penarafan EMGS 2019 pula UTeM telah berjaya memperolehi penarafan 2 bintang daripada 3 bintang,” ujarnya lagi.