Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Selamat datang ke laman web Pejabat Pengurusan Fasiliti Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi dan dengan limpah kurnianya laman web Pejabat Pengurusan Fasiliti akan sentiasa dijadikan suatu wacana di dalam perhubungan dan penyaluran maklumat yang lebih tersusun dan pantas kepada warga jabatan, warga universiti dan orang awam keseluruhannya.
Pejabat Pengurusan Fasiliti telah terlibat dengan aktif di dalam menyelenggara prasarana dan kemudahan fizikal dari mula penubuhan UTeM pada tahun 2000 dahulu. Pembangunan dan pengoperasian fizikal kampus bermula di Kampus Sementara, Taman Tasik Utama sehinggalah kepada pengoperasian UTeM di dua buah kampus pada masa kini. Tahun-tahun kebelakangan ini juga menyaksikan projek-projek pembangunan di Kampus Induk UTeM telah mula rancak semula seiring dengan perkembangan keperluan pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan pembangunan serta pentadbiran dan pengurusan universiti. Pejabat Pengurusan Fasiliti akan terus seiring dengan pengurusan tertinggi di dalam mengurus fasiliti dan kemudahan fizikal kampus agar selaras dengan misi dan visi UTeM.
Perlaksanaan operasi dan penyelenggaraan yang terbaik menjadi agenda utama jabatan khususnya dan universiti amnya bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan pengguna bangunan sentiasa terjamin. Mengambil maklum akan pentingnya aktiviti operasi dan penyelenggaraan bangunan dilaksanakan dengan sebaik mungkin, beberapa program, inisiatif dan aktiviti telah, sedang dan akan dilaksanakan antaranya adalah pensijilan standard MS ISO 9001:2008 Pejabat Pengurusan Fasiliti untuk pengurusan penyelenggaraan, penggunaan sepenuhnya Sistem Maklumat Fasiliti dan lain-lain lagi. Semua ini dilaksanakan atas desakan untuk memenuhi keperluan pengurusan penyelenggaraan yang semakin mencabar. Selain daripada ini, Pejabat Pengurusan Fasiliti juga bertanggungjawab ke atas pengurusan sewaan bangunan untuk kegunaan operasi universiti di Kampus Induk dan Kampus Teknologi.
Sekian, terima kasih.
Ainuddin bin Abu Kasim
